12 September 2011

GENGGAM BARA API...

GENGGAM bara apa biar sampai jadi arang begitulah bunyinya perumpamaan melayu yang membawa maksud sesuatu tugas yang dilakukan itu biarlah berhasil walaupun terpaksa menghadapi pelbagai cabaran.
Menggenggam bara api memerlukan semangat, ketabahan serta jati diri. Kesakitan pasti dirasa tetapi hanya buat sementara. Apabila ianya dapat diatasi, maka arang yang terhasil dari bara api itu amat diperlukan untuk dijadikan sebagai bahan bakar.
Kepayahan, kesukaran dan ketidakselesaan dalam proses menuntut ilmu adalah lumrah alam malah ada hikmah di sebaliknya. Keperitan yang dilalui melalui pengalaman sendiri mengajar kita mengenal kehidupan serta menjadikan kita lebih matang serta lebih bertanggungjawab terhadap diri sendiri.
Apabila kesedaran tentang tanggungjawab itu lahir di jiwa kita, maka diri kita lebih berdisiplin. Disiplin adalah faktor yang penting menentukan tindakan dan amalan seseorang itu. Murid yang berdisiplin mudah belajar, mudah membuat kerja tanpa disuruh atau dipaksa serta mudah menyelesaikan sebarang masalah dalam pelajaran.
Murid yang tidak berdisiplin gagal mengawal tindakan dan amalan. Murid seumpama ini gagal merancang jadual belajar, gagal mengawal nafsu dan perasaan serta mudah berputusa asa. Mereka ini tidak sanggup bersusah payah. Semuanya inginkan keselesaan, inginkan kemudahan, inginkan kejayaan tanpa berusaha mendapatkannya. Murid seumpama ini kebiasaannya tidak akan berjaya mendapt prestasi yang baik dalam peperiksaan.
Oleh itu dalam jangka masa yang terdekat sebelum murid-murid menjejak kaki ke dewan peperiksaan, pastikan anda sanggup menghadapi segala bentuk kesukaran dalam proses mengulang kaji pelajaran.
Anda perlu bersusah payah mencari bahan, menghafal fomula atau sifir, membuat latihan atau berbincang dengan guru. Gunakan sepenuh tenaga anda untuk membuat persiapan menghadapi peperiksaan. Setelah enam tahun anda menunggu ketibaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), kini dalam sekelip mata sahaja masanya akan tiba. Ayuh! gabungkan tenaga, gunakan minda, cekalkan semangat di dada dan anda sedang menuju apa yang dicita-cita!

No comments:

Post a Comment