5 March 2012

AMANAT GURU KAUNSELING - BAGAIMANA UNTUK KEKALKAN SEMANGAT BELAJAR



PEPERIKSAAN atau Ujian Bulanan akan muncul tidak lama lagi dan kemudiannya diakhiri dengan Peperiksaan Awam. Mungkin ada di antara murid yang rasa bosan serta tidak bertenaga lagi untuk menghadapi semua ini. Bagaimanapun mahu tidak mahu proses ini harus dilalui. Oleh itu adalah amat penting bagi seseorang murid dapat mengekalkan semangat untuk terus belajar. Dengan berbekalkan semangat segala cabaran akan dapat ditangani dengan mudah.

Berikut disenaraikan beberapa langkah yang boleh dilakukan oleh murid-murid untuk mengekalkan semangat untuk belajar.

(1.)    Tindakan segera ketika menghadapi kesukaran. Sewaktu mengulang kaji atau mendengar penerangan guru terdapat juga perkara-perkara yang tidak difahami. Lama kelamaan perkara-perkara yang tidak difahami ini akan menyukarkan murid untuk meneruskan mengulang kaji pelajaran dan akhirnya murid akan merasa bosan serta hilang semangat untuk belajar. Dalam hal ini murid perlu bertindak segera mengatasinya. Murid perlu menghubungi guru, rakan atau merujuk bahan bacaan sehingga perkara yang tidak difahami itu dapat diatasi.Tumpukan perhatian ketika guru mengajar. Jika kurang faham bolehlah bertanya kepada guru anda dengan sopan. Jika ingin bertanya, minta izin terlebih dahulu.

(2.)    Mengulang kaji setiap hari: Proses mengulang kaji perlu dilakukan setiap hari mengikut jadual yang dirancang. Ada sesetengah murid hanya mengulang kaji pada hari-hari tertentu sahaja. Keadaan begini akan menghilangkan suasana peperiksaan serta semangat untuk belajar.

(3.)    Jangan ponteng kelas. Perbuatan ponteng kelas akan menyebabkan murid ketinggalan topik yang diajar. Tanpa penerangan guru adalah agak sukar bagi murid memahaminya. Jika masalah ini berlarutan murid akan hilang semangat untuk belajar. Jangan berkata-kata atau berbual dengan rakan-rakan ketika guru sedang mengajar.

(4.)    Tumpuan pada pelajaran. Di peringkat ini murid diminta memberi sepenuh perhatian pada pelajaran. Hiburan yang berlebihan haruslah ditinggalkan. Biarlah minda kita hanya memikirkan tentang pelajaran tanpa dicampur aduk dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah.

(5.)    Bertaqwa sepanjang masa: Beribadah mampu menimbulkan kesedaran, kesyukuran serta mendekati diri kita kepada Allah. Segala nikmat dan kejayaan akan diberikan oleh Allah sekiranya seseorang itu berusaha bersungguh-sungguh serta ikhlas melakukan segala tindakan tanpa dipaksa. Menyedari hakikat ini semangat untuk belajar akan terus bersemarak di jiwa kita yang akhirnya membawa kejayaan.

Oleh itu murid harus bertindak sekarang kerana masa berjalan dengan pantas. Kita tidak harus berdolak dalih memberi alasan tetapi teruslah mencari jalan untuk belajar bersungguh-sungguh demi mencapai kejayaan.