27 April 2011

Japan - ' We With You'

Satu hari yang bermakna buat warga SMK Dato Hamzah kerana telah menunjukkan sikap empati, bantu-membantu dan keprihatinan terhadap isu globalisasi atau melibatkan masyarakat dunia. Nilai murni seperti empati, bantu-membantu serta prihatin yang diterapkan dalam jiwa pelajar, merupakan aspirasi dalam Falsafah Pendidikan Negara berkaitan kurikulum merentas masa. Pelajar bukan sekadar belajar namun perlu mengamalkan nilai murni dalam kehidupan seharian. Semoga kejadian tsunami di Jepun pada 11 Mac 2011 sebagai satu landasan kepada pelajar mendapat ikhtibar serta bersedia membantu masyarakat lain yang dalam kesusahan.

Sesungguhnya tiada kata seindah bahasa dapat dirakamkan penghargaan tahniah buat warga SMK Dato Hamzah atas keikhlasan menderma dan tahniah juga diucapkan kepada pasukan Pengakap sekolah kerana menjayakan kempen menderma yang bermula dari 4 hingga 18 April 2011. Sebenarnya aktiviti ini merupakan serampang dua mata kepada ahli Pengakap sebagai syarat mendapatkan Lencana Kebajikan.

Pihak sekolah juga merakamkan rasa berbesar hati kepada En Prabaker Rao (Senior Executive STAR Publications) kerana dapat menghaditi majlis penyampaian cek. Majlis ini diadakan sebagai tanda simbolik keprihatinan warga SMK Dato Hamzah yang sama-sama menjayakan kempen derma untuk mangsa tsunami di Jepun. Malah, usaha ini yang kita lakukan seiring dengan usaha kerajaan yang turut menghulurkan bantuan kewangan, teknikal dan kemanusiaan sebagai satu semangat kerjasama serantau atau antarabangsa.

Walaupun sumbangan pada hari ini tidak seberapa iaitu kutipan sebanyak RM600.00, namun, inilah tanda empati dan keprihatinan kita demi mangsa tsunami di Jepun. Kita juga berharap derma yang tidak seberapa ini dapat membantu sedikit sebanyak mangsa tsunami di Jepun untuk mengharungi kehidupan dengan tabah ketika menghadapi saat kesukaran ini supaya dapat meneruskan kehidupan dengan tenang.

Akhir bicara, semoga majlis ini menjadi tanda ingatan dan ikhtibar buat kita semua untuk sentiasa bersedia menghulurkan bantuan buat mereka yang dalam kesulitan atau kesukaran hidup apabila menghadapi bencana.

No comments:

Post a Comment